
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)/PUO
IPOH, 12 Sep (Malaysiaaktif) – Politeknik Ungku Omar (PUO) dengan kerjasama Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Pertubuhan Ikram Malaysia telah menjayakan Program MyCARE Road Tour 2.0 (MRT 2.0) dengan tema ‘Eyes on Palestine’.
PUO dalam satu kenyataan memaklumkan, program yang diadakan di politeknik tersebut pada Sabtu lalu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu kemanusiaan, peperangan, dan bencana di seluruh dunia terutama di Palestin.

Pertandingan inovasi dan reka cipta barang kitar semula.
“Program MRT 2.0 memulakan siri jelajah dari Kuala Lumpur hingga ke Sabah dan Sarawak pada bulan Julai yang lalu hinggalah September ini.
“Turut bekerjasama menjayakan program di peringkat Negeri Perak ialah Pejabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Perak dan Majlis Pimpinan Rakan Siswa YADIM, PUO yang telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pelaksana Program,” menurut PUO dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Pelbagai aktiviti diadakan bagi meningkatkan kesedaran kepada orang ramai tentang isu konflik yang berlaku di Palestin dan mensyukuri nikmat keamanan dalam negara ini sempena Hari Malaysia.

Pameran yang turut diadakan sempena program.
“Antaranya, Forum Eyes on Palestine, Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Barang Kitar Semula Bertemakan Kemerdekaan dan Palestin, Explorace Palestin dan Street Dakwah,” menurut kenyataan itu.
Dalam program sama, para penyumbang Tabung Kemanusiaan Palestin dan penggerak utama program kesedaran isu-isu kemanusiaan di Palestin turut diraikan dengan penganugerahan sijil penghargaan.
Hadir merasmikan Program MRT 2.0 Peringkat Negeri Perak Pengarah YADIM Perak Ustaz Ramdani Abd Karim.
-ZS-