Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Rakyat Pahang Teruja Sambut Hari Kebangsaan ke-67 Bersama Sultan Pahang

By 1 September 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang 2024 pada tahun ini disambut dengan suasana meriah dengan anggaran 65,000 orang pengunjung membanjiri Padang MBK 1 dan Jalan Mahkota, di sini semalam.

Keterujaan rakyat Pahang pada sambutan tahun ini agak istimewa kerana ia merupakan tahun pertama Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat selaku Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan merupakan tetamu utama setelah selamat menyempurnakan pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 selama lima tahun di Istana Negara pada Januari lalu.

Bagi adik Ainul Mardiah Sharifiddin, 10, berkata ini merupakan kali pertama dia datang melihat perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan.

Adik Ainil Mardiah dan Nuraini Mohamad yang kebetulan bersua ketika ditemui ramah.

Ainil yang merupakan pelajar Sekolah Rendah Seri Mahkota, Batu 12 Kuantan bangun awal untuk datang ke sini kerana risau tidak mendapat tempat duduk hadapan.

“Ini satu pengalaman menyeronokkan dan amat berharga,” katanya.

Nuraini Mohamad, 25, guru tadika di Cyberjaya, Selangor sanggup datang menaiki bas untuk melihat perarakan ini.

Beliau yang berasal dari Bera pernah menyertai Askar Wataniah pada 2019 dan turut serta dalam pasukan tersebut menyertai perarakan ini pada tahun yang sama.

“Saya datang untuk bagi sokongan kepada rakan yang menyertai perarakan di sini dan mengubati kerinduan kepada rakan sepasukan,” katanya.

Seorang lagi pengunjung Fatihah Yusup, 31, dari Kampung Sungai Isap, berkata tahun ini adalah pertama kali dia menyaksikan perarakan di Padang MBK 1 ini yang mana sebelum ini sambutan diadakan di Padang Kemunting, Tanah Putih.

Fatihah Yusup bersama suami dan anak-anaknya.

“Saya dan keluarga sanggup menginap di Hotel Shazan yang terletak sebelah padang ini, sebab nak datang awal,” katanya yang turut mengakui pengalaman di sini lebih seronok kerana dapat tengok dengan dekat dan lebih jelas.

Sementara itu, Nurani Abdullah Alias, 40, dari Kampung Batu 3, di sini, berkata setiap tahun dia akan datang membawa kedua anaknya menyaksikan perarakan.

Nuraini Abdullah Alias (depan) bersama anak-anak dan adik beradiknya.

“Disebabkan minat dan semangat patriotik yang mendalam, saya ingin menerapkan semangat cintakan negara ini kepada anak juga,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.

-ZS-

Tinggalkan komen anda