
Laporan/foto: Azfa Saffie (Kuala Selangor)
JERAM, 1 Sep (Malaysiaktif) – Hanya menggunakan plastik sampah pelbagai warna tema Jalur Gemilang, anak pasangan nelayan dan suri rumah Alesha Zahra Yunus, 8, berjaya menghasilkan rekaan gaun kembang dan menjadi antara pemenang pertandingan Pakaian Merdeka Tercantik.
Menurut ibunya Mira Dahlan, 45, anaknya sangat teruja untuk memasuki pertandingan berkenaan dan beliau membantu melestarikan hasrat anaknya dengan rekaan yang tidak melibatkan kos yang tinggi.

Kanak-kanak yang menyertai Pertandingan Pakaian Tercantik.
“Anak saya sangat suka untuk menyertai pertandingan ini dan sebagai ibu saya turut bangga dengan semangat kemerdekaan ini.
“Jika pertandingan dibuat di sekolah sudah pasti pakaian ini tidak dapat diperagakan kerana kami hanya mempunyai motosikal untuk ke sekolah. Namun sebagai ibu bapa, itu bukanlah halangan besar untuk menerapkan sifat sayangkan negara dalam diri anak-anak,” katanya.
Rasa kepunyaan dan sayangkan negara adalah unsur penting yang perlu ada dan terus dipelihara dalam setiap kalangan masyarakat.
Bukan sahaja ketika berdepan dengan sambutan Bulan Kebangsaan, malah perjuangan jati diri memerdekakan jiwa dari kelompok-kelompok taksub rasisme yang mana boleh menyebabkan perpecahan dan menggugat keharmonian.
Penghulu Mukim Jeram Mohd Rizan Haron, berpandangan bahawa sekiranya rakyat bersatu, mengetahui peranan masing-masing dan berpegang teguh kepada prinsip tersebut, kita mampu membendung golongan ekstremis yang menabur fahaman perpecahan serta menyemarakkan api perkauman bagi mencetuskan suasana tidak aman dalam negara demi kepentingan peribadi.

Syamila Umairah memperoleh tempat pertama di dalam Pakaian Merdeka Tercantik.
“Apa yang perlu dilakukan kini adalah mencari jalan ke arah memerdekakan jiwa dan minda,” ujarnya ketika ditemui di Sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 Jiwa Merdeka anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Buluh, di Dataran Gerai UMNO Sungai Buluh, di sini semalam.
Alesha mendapat tempat kedua manakala Syamila Umairah Kamarul Bahrin, 12, memperoleh tempat pertama dalam pertandingan Pakaian Merdeka Tercantik itu.
-ZS-