
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/SMKRR
LABUAN, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Program Rentak Seni Rakan Muzik memperkasa seni tari tradisional sebagai identiti bangsa dalam kalangan ganerasi belia.
Pengawai Penyelaras Program daripada Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan Zulhairi Isnean, berkata program itu merupakan salah satu program anjuran JBS untuk menggalakkan belia mengenali seni budaya Malaysia.

Para peserta Bengkel Seni Tari Tradisional bergambar kenangan.
“Dalam program rakan seni ini, para belia serta pelajar-pelajar sekolah didedahkan dengan pelbagai aktiviti seni dan kebudayaan antaranya seni muzik dan seni tari tradisional melalui Bengkel Seni Tari Tradisional dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha (SMKRR) dan memilih bekas pelajar sekolah itu sendiri iaitu Zainol Akram Jumadil sebagai fasilitator.
“SMKRR merupakan salah sebuah sekolah yang begitu aktif dalam memperkasa seni tari tradisional di bawah bimbingan Cikgu Rohayati Idris dan Cikgu Faqiha Qayyimah yang juga menjadi salah satu aktiviti kokurikulum selain banyak terlibat dalam pelbagai persembahan dan pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Labuan, serta agensi-agensi luar.
“Oleh sebab itu JBS berbesar hati memilih sekolah itu sebagai pengelola bersama pada program kali ini dan JBS sentiasa terbuka untuk bekerjasama seandainya ada aktiviti seumpama ini lagi di tahun-tahun akan datang,” katanya semasa majlis penutupan program itu di SMKRR semalam.
Beliau yang mewakili Pengarah JBS Labuan, Mahanum Fauzi turut berharap lebih ramai penyertaan dari semua sekolah di Labuan pada penganjuran program itu di masa hadapan.

Zulhairi (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Jasmini (dua dari kanan).
Sementara itu, Guru Kanan Bidang Kemanusiaan SMKRR Jasmini Daud, berkata program itu merupakan salah satu aktiviti sihat dan berfaedah bagi mengisi masa lapang pelajar-pelajar terutamanya semasa musim cuti sekolah.
“Program ini juga merupakan salah satu jalinan kerjasama komuniti yang sangat bermanfaat dan peserta program sangat bertuah kerana ini merupakan salah satu aktiviti pengajaran pembelajaran di luar kelas yang boleh menambah markah kokurikulum mereka,” katanya yang turut berucap pada majlis itu mewakili Pengetua SMKRR.
Program yang menjadi sebahagian daripada 10 program Rakan Muda itu berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 September dan disertai seramai 35 orang peserta dari beberapa buah sekolah menengah sekitar Labuan.
-ZS-