
Laporan/foto: Regina Lasia (Sarawak)
LONG LAMA, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Sambutan Program Jiwa Komuniti Madani @ Merdeka yang melibatkan Komuniti MADANI Long Lama, Komuniti MADANI Uma Akeh dan Komuniti MADANI Long Laput telah menyerlahkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk setempat.
Bertemakan ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’, program tersebut telah berjaya menyatukan semua lapisan masyarakat dalam satu semangat perpaduan yang harmoni dan penuh makna semalam.

Sekitar program Jiwa Komuniti Madani @ Merdeka di Long Lama, Sarawak.
“Hari ini, kita berpeluang untuk merasai dan menikmati kesejahteraan yang melimpah ruah, hasil daripada perjalanan panjang dan penuh cabaran yang telah dilalui oleh generasi terdahulu kita.
“Dengan penuh rasa syukur, marilah kita menghargai nikmat yang ada sekarang, yang merupakan hasil daripada pengorbanan dan usaha gigih mereka,’’ kata Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Datuk Dennis Ngau.
Tambahnya, dengan semangat ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’, sambutan Hari Kebangsaan 2024 telah berjaya memperkukuhkan lagi semangat kebangsaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia adalah peringatan yang jelas bahawa walaupun datang dari latar belakang yang berbeza, namun tetap berkongsi satu matlamat iaitu untuk melihat negara kita maju dan makmur dalam suasana harmoni dan kedamaian.

Sekitar program Jiwa Komuniti Madani @ Merdeka di Long Lama, Sarawak.
Pelbagai aktiviti menarik yang turut diadakan antaranya ialah, pertandingan basikal berhias, baju beragam, deklamasi sajak, mewarna dan Kids Fashion Show yang melibatkan tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Ubong Imang, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kee Tee dan Sekolah Menengah Kebangsaan Long Lama.
-ZS-