
Laporan/foto: Muhammad Naim/Siti Zuraida (Jempol)
JEMPOL, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 15 orang kanak-kanak Tadika KEMAS Kampung Jeram Panjang telah melaksanakan program Mobilisasi Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) bagi menyantuni anak-anak di pinggir bandar dengan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan tadika.

Mustapa Nagoor bergambar bersama kanak-kanak Tadika KEMAS Kampung Jeram Panjang.
Penglibatan para peserta bermula seawal pukul 8.30 pagi dengan senamrobik dan pertandingan mewarna kanak-kanak.
Menurut Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jempol Mahadir Darahi, SATRIA adalah salah satu program turun padang bagi membantu masyarakat setempat dalam suasana yang santai di bawah Jabatan Belia dan Sukan.
“Penglibatan para belia menjadi tunjang dan fokus utama serta perlu diteruskan lagi bagi menarik minat belia muda untuk menyertai sukarelawan bagi membantu masyarakat yang susah terutama di kawasan pinggir bandar,” katanya kelmarin.
Menurutnya, SATRIA membentuk jati diri dan mencorakkan para belia supaya mempunyai daya kepimpinan negara pada masa hadapan.

Mustapa Nagoor ketiks memberi ucapan.
“Program ini turut dilaksanakan bersama dengan rakan-rakan strategik jabatan di antaranya adalah Komuniti MADANI Felda Palong 7, 8 serta jabatan dan juga agensi seperti Pejabat Kesihatan Daerah Jempol dan juga Pejabat Daerah dan Tanah Jempol dalam semua aktiviti yang dijalankan,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Haji hadir merasmikan majlis penutup program dengan menanam pokok kedondong sebagai salah satu usaha bagi memupuk minat anak-anak untuk cintakan alam sekitar seperti kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya.
-ZS-