
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
TANAH MERAH, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek zaman menjadi gambaran jelas seni mempertahankan diri silat terutama di negeri Kelantan yang telah menjadi warisan sejak turun-temurun.
Salah satu seni silat yang masih mendapat sambutan ialah Silat Panglima Gayong.
Guru silat Mat Sidin Ibrahim, 49, berkata selain seni silat dipersembahkan pada adat istiadat atau majlis keraian, ianya juga dipertandingan bagi menguji ketangkasan dan kepandaian seseorang.
“Mempelajari seni silat akan menguatkan mental dan keyakinan seseorang untuk berani ke hadapan dan saya yakin seni silat akan berkembang dan membentuk akhlak yang terpuji terutama kepada generasi sekarang,” katanya ketika Majlis Penutup Bulan Kebangsaan 2024 dan Program Jiwa Madani@Kelab Malaysiaku yang berlangsung di Dewan Karisma, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah (2), di sini semalam.

Ahmad Kashfi (tengah) memegang Jalur Gemilang.
Ketua Seni Silat Panglima Gayong SMK Tanah Merah (2) Ahmad Kashfi Mohd Wajdi, 16, berkata beliau amat berminat dan tertarik dengan silat ini dan wajar diwarisi agar tidak pupus ditelan zaman.
Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pegawai Penerangan Daerah Tanah Merah Mohd Sanusi Ariffin.
-ZS-