
Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat
KANGAR, 12 Sep (Malaysiaaktif) – Murid-murid Tabika Perpaduan Negeri Perlis diberi pendedahan merasai pengalaman kemeriahan perarakan sempena Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September ini.

Bacaan ikrar Rukun Negara yang bersemangat.
“Perarakan Tunas Merdeka Sempena Hari Malaysia 2024 Peringkat Negeri Perlis anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perlis ini yang bermula di Denai Larian, Pengkalan Asam, Kangar ini adalah suatu program besar yang julung-julung kali dilihat diadakan.
“Program sebegini dapat meningkatkan fahaman anak kecil tentang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dalam memupuk jiwa patriotik dan kanak-kanak ini akan lebih faham, bahawa ia bukan sekadar hari cuti,” kata Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis Yang Zaimey Yang Ghazali.
Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian program tersebut di sini tengah hari tadi.

Perarakan Tunas Merdeka melibatkan lebih 600 murid Tabika Perpaduan.
Perarakan tersebut yang bermula sedikit lewat kerana hujan telah berakhir sekitar pukul 10.30 pagi di Padang Majlis Perbandaran Kangar.
Program ini secara keseluruhan melibatkan seramai 1,511 murid-murid Tabika Perpaduan seluruh Perlis, Kawasan Rukun Tetangga, agensi kerajaan, guru-guru dan ibu bapa.
“Dengan objektif utama pelaksanaan program ini adalah bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak bahawa semangat patriotisme perlu dipupuk seawal usia, supaya dapat membentuk masyarakat yang cintakan tanah air pada masa hadapan,” kata Pengarah Perpaduan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perlis Hanita Ahmad ketika ucapan aluan.
-ZS-