
Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar/Dayang Siti Nurzuhairah
BACHOK, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Program JIWA Komuniti MADANI@Hari Malaysia 2024 Peringkat DUN Daerah Bachok telah berjaya menggabungkan lima kluster di bawah inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang dengan penglibatan penyertaan hampir 1,000 orang peserta.
Lima kluster yang digarapkan di bawah penglibatan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Daerah Bachok adalah Kluster Komuniti MADANI bersama Kluster Kesihatan dan Pendidikan di bawah Komuniti MADANI DUN Tawang, Kluster Keselamatan dan Pendidikan Menengah di bawah Komuniti MADANI DUN Jelawat dan Citrawarna Hari Malaysia 2024 di bawah Komuniti MADANI DUN Pantai Irama yang berlangsung di Dataran Perahu, Dataran JPS dan persisiran Pantai Irama, di sini semalam.
Menurut Ketua Jajahan Bachok Haji Shamsul Abu Bakar yang merasmikan Kluster Kesihatan dan Pendidikan bagi Komuniti MADANI DUN Tawang, semua rakyat perlu menghayati Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Program-program berkala sebegini perlu dirancang dengan sebaiknya agar semangat patriotisme terus menebal dalam jiwa semua generasi,” katanya.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail yang merasmikan Program di bawah DUN Jelawat bagi Kluster Keselamatan dan Pendidikan Menengah, berkata seiring dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok amat berbesar hati menjalin kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Komuniti MADANI dalam apa jua program bermanfaat yang mampu menzahirkan kesejahteraan masyarakat, seterusnya mengekalkan keharmonian serta keamanan negara.
Acara kemuncak program adalah di bawah DUN Pantai Irama yang memaparkan aktiviti di bawah Kluster Pendidikan dan Citrawarna Hari Malaysia 2024 di mana podcast (audio siar) berkaitan Hari Malaysia telah diadakan dengan menerapkan mesej-mesej berkenaan kemerdekaan, penubuhan dan kebudayaan Malaysia.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md. Nor, berkata pelaksanaan program di peringkat tiga DUN dengan melibatkan lima kluster di bawah inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang ini adalah sesuatu yang bukan mudah dan berjaya dibuktikan dengan kejayaan penganjuran program.
Pelbagai aktiviti dijalankan seperti gotong-royong membersih pantai, pertandingan sampah terberat dan botol terbanyak, beri makan kucing jalanan, demonstrasi T-Baton, pameran 14 jenis kuih tradisional Malaysia dan lain-lain.
-ZS-