
Laporan/foto: Abd Aziz Osman/Mohd Ridhuan Mohd Fadhil Samuel (Seberang Perai Utara)
TASEK GELUGOR, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus memperkukuhkan usaha membangunkan masyarakat celik digital dengan memperbanyakkan penubuhan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Pulau Pinang.
Inisiatif ini bertujuan menyediakan akses kepada perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi, terutamanya bagi mereka yang memerlukan, di samping menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat dalam era digital yang semakin pesat.

Zairil sedang memerhatikan ujian kelajuan Internet di NADI Sungai Dua.
Pengurus NADI Sungai Dua Nurul Farihin Rosli menjelaskan bahawa pusat NADI bukan sahaja berfungsi sebagai penyampai maklumat mengenai pelbagai inisiatif dan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat.
“Di samping itu, NADI juga menyediakan bimbingan dalam bidang keusahawanan dan pembelajaran sepanjang hayat, merangkumi mata pelajaran seperti Matematik, TVET, STEM, serta kesedaran mengenai tatacara dan risiko penggunaan Internet,” katanya.
NADI yang beroperasi setiap hari kecuali cuti umum menyediakan fasiliti lengkap termasuk kakitangan terlatih dan kemudahan internet berkelajuan tinggi, menjadikannya pusat rujukan utama bagi komuniti setempat.

Sekitar Majlis Perasmian Pembukaan NADI Sungai Dua.
Sementara itu, Pengerusi Jawatakuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Zairil Khir Johari, berkata sebanyak 34 pusat NADI telah ditubuhkan di seluruh Pulau Pinang dan usaha sedang giat dijalankan untuk melengkapkan penubuhan di kesemua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya menyeru masyarakat untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ini. Penguasaan kemahiran digital bukan sahaja dapat mempertingkatkan taraf hidup, malah membuka ruang kepada usahawan untuk memperluas pemasaran produk mereka di pasaran digital,” kata Zairil ketika merasmikan NADI Sungai Dua di Dewan Besar Sungai Dua, kelmarin.
Turut hadir Pengarah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Pembangunan Masyarakat Digital Pulau Pinang Khooi Chu Boon.
-ZS-