Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Sultan Pahang Berkenan Berangkat ke Majlis Santapan Peterana Kasih

By 7 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syaiful Syarafuddin Ahmad Syafie/Mohd Faisal Ishak (Rompin)

ROMPIN, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan dan Jamuan ‘Peterana Kasih’ sempena memuliakan Hari Keputeraan Yang ke-65 Baginda Tuanku anjuran Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA), di sini hari ini.

KDPB Tuanku berdua bersama KDPM Tengku Mahkota berkenaan menyaksikan persembahan nyanyian daripada artis-artis jemputan.

Turut berangkat sama dalam majlis tersebut adalah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibn Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah agar KOSMA yang merupakan koperasi terbesar di negeri Pahang ini dapat terus bangkit dan memajukan ahli-ahlinya dan juga dapat memberikan kebaikan kepada masyarakat sekeliling terutama masyarakat Orang Asli di negeri Pahang kerana pulangan hasil KOSMA yang besar.

Antara jemputan yang hadir memeriahkan Majlis Santapan Peterana Kasih di Dewan Besar DARA, Muadzam Shah.

“Saya turut berbesar hati dengan penganjuran majlis santapan bagi menyambut ulang tahun ke-65 rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis pada hari ini,” titah Baginda.

Sebelum itu, Pengerusi KOSMA Datuk Haji Zamri Haji Mohamed menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih di atas sokongan padu Baginda Tuanku sejak awal penubuhannya bermula dari pemerintahan Almarhum Sultan Ahmad Shah yang berjanji untuk terus melakar kejayaan serta memperkasakan kebajikan dan kepentingan ahli-ahlinya untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

“Saya turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku yang telah memperkenan dan mengurniakan pemilikan tanah tambahan seluas 6,574 ekar di Mukim Keratong, Rompin, dan lebih menggembirakan, setiap ahli KOSMA diberi tambahan seunit setiap seorang,” ujarnya.

Baginda Tuanku juga turut berkenan menyampaikan bantuan kepada 150 orang penerima bantuan daripada Majlis Ugama Islam Negeri Pahang (MUIP).

-ZS-

Tinggalkan komen anda