Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Tengku Panglima Perang Memeriahkan Kejohanan Catur Terbuka Antarabangsa Pahang 2024

By 10 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/PenPekan (Pekan)

PEKAN, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan ke-65 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, satu kejohanan catur antarabangsa Pahang 2024 telah berlangsung selama dua hari di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah bermula 7 September lalu.

Pada hari terakhir kejohanan, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah bercemar duli mewakili ayahandanya untuk mengurniakan hadiah-hadiah kepada para pemenang.

Peserta bergambar bersama sebelum kejohanan bermula.

Pengerusi Persatuan Catur Negeri Pahang Hamidah Abdul Hamid, berkata pada kejohanan kali ini sebanyak tiga kategori dipertandingkan bagi mengasah kemahiran berfikir serta menguji ketahanan mental para peserta.

“Kategori tersebut ialah bawah 12 tahun yang berjaya mengumpul 312 penyertaaan, Kategori Challenger, 142 penyertaan dan Kategori Terbuka berjaya mengumpul 49 penyertaan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, penyertaan peserta ini tidak hanya dari negeri Pahang malah ada yang datang dari negeri-negeri lain.

“Peserta Orang Kurang Upaya (OKU) dan Orang Asli juga mengambil bahagian kali ini dan bagi kategori terbuka pula ada peserta datang dari Vietnam dan Filipina.

Pertemuan Grand Master Nguyen Duc Hoa (kanan) menentang pencabarnya dari Malaysia.

“Catur ini sangat unik kerana ia menguji kemahiran berfikir. Orang selalu fikir catur ini tempoh permainan lama tapi sebenarnya perlu cepat sebab kita menggunakan masa,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif kelmarin.

Bagi Kategori Bawah 12 Tahun dimenangi oleh Muhammad Annas Syahmi Md Rizam dari Melaka yang membawa pulang medal dan wang tunai RM500 manakala Mohd Sabri Mohd Darwis dari Kedah memenangi Kategori Challenger yang membawa pulang wang tunai RM 1,000 dan piala.

Kategori Terbuka dimenangi oleh Grand Master Nguyen Duc Hoa dari Vietnam yang membawa pulang wang tunai RM5,000, medal serta piala kejohanan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda