
Laporan/foto: Wan Shahilawati Wan Baharuddin/Norsahira Mohd Nasir
KOTA BHARU, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Walaupun zaman sudah berubah, hiburan tradisional wayang kulit masih lagi digemari dan mendapat permintaan.
Abd Razak Ismail atau mesra dikenali sebagai Pok Jak, 60, berkata wayang kulit pada masa dahulu dengan kini banyak bezanya.

Watak-watak wayang kulit.
“Jika dahulu, wayang kulit dimainkan sebagai salah satu ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit atau menghalau gangguan unsur-unsur mistik.
“Tetapi sekarang, wayang kulit lebih kepada tujuan hiburan, berunsurkan nasihat dan teladan,” katanya selaku tok dalang yang hadir membuat persembahan dalam program Jiwa Komuniti Madani@Merdeka, di sini semalam.
Pok jak turut mengakui generasi muda kini kurang berminat untuk menonton wayang kulit.
“Kami ada cara tersendiri bagi menarik minat golongan muda seperti ubah jalan cerita tradisional kepada moden.
“Orang muda lebih suka kepada watak cerita terkini berbanding watak epik,” kata Pok Jak.

Mohd Nabil turut teruja apabila pertama kali melihat persembahan wayang kulit.
Sementara itu, Mohd Nabil Syazwan, 16, sekadar menemani keluarganya untuk melihat wayang kulit.
“Buat pertama kalinya malam ini saya berpeluang melihat sendiri ragam tok dalang membuat persembahan.
“Saya sangat teruja kerana sebelum ini hanya tahu dan dengar sahaja tapi tidak pernah ada pengalaman depan mata,”ujarnya.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Kota Bharu Mohd Zamzuri Salleh, Ketua Komuniti MADANI Demit Setia Bakti Mohamad Daud Omar dan Ketua Komuniti MADANI Seribong Sazali Mohd Noor.
-ZS-