Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Usahawan Terima Durian Runtuh

By 26 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)

HUTAN MELINTANG, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Seorang usahawan dari daerah ini ibarat menerima durian runtuh kerana terpilih untuk menerima bantuan peralatan perniagaan yang diusahakannya di Yong Perak Food, Kampung Hutan Melintang, di sini kelmarin.

Salim Ishak memberi taklimat berkenaan perniagaan yang diusahakan.

Bagi Salim Ishak, 49, dia berasa bersyukur kerana telah terpilih sebagai satu-satunya calon dari daerah Bagan Datuk yang menerima bantuan peralatan untuk perniagaan yang diusahakan.

“Saya mengusahakan produk pembuatan kek ikan dan bebola ikan secara kecil-kecilan di rumah. Dengan adanya peralatan ini iaitu mesin pembungkusan akan membantu memudahkan kerja pembungkusan dan meningkatkan lagi pengeluaran produk yang saya usahakan.

“Jadi, saya berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan Negeri Perak kerana memilih saya sebagai penerima sumbangan ini,” ujarnya.

Perniagaan yang diusahakan di rumah hanya melibatkan dua orang pekerja.

Sementara itu, Pegawai Perikanan Negeri Muhammad Rahimi Ramli, berkata bantuan tersebut merupakan inisiatif kerajaan negeri yang disalurkan melalui Jabatan Perikanan untuk membantu usahawan yang terlibat dengan produk perikanan.

“Setiap Pejabat Perikanan akan mencalonkan seorang peserta dari daerah masing-masing dan bantuan akan diberi dalam bentuk peralatan pembungkusan.

“Semoga dengan sumbangan ini akan membantu meningkatkan pengeluaran produk seterusnya menambah pendapatan usahawan,” katanya.

Sumbangan ini telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya sambil disaksikan oleh Pengarah Perikanan Negeri Mohd Ghazali A. Manap.

-ZS-

Tinggalkan komen anda