
Laporan/foto: Salehuddin Klewan/Halim Aman (Hulu Langat)
BANDAR BUKIT MAHKOTA, 9 Sep – Seramai 500 penduduk Pangsapuri Nuri meraikan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) dengan penuh meriah melalui pelbagai aktiviti dan acara menarik, di sini semalam.

Kegembiraan terserlah di kalangan penduduk apabila diumumkan sebagai pemenang pertandingan Keceriaan Merdeka.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Nuri Mohd Nazri Othman, beliau sangat bangga dengan sikap penduduk yang memberi kerjasama terhadap program ini terutama pertandingan Keceriaan Merdeka yang melibatkan lapan blok pangsapuri.
“Walaupun sibuk dengan tugasan harian tetapi mereka tetap komited melukis mural, seramai 40 hingga 50 penghuni setiap blok bergotong-royong menghias laman dengan hiasan kreatif dan menyiapkan lukisan tersebut dalam tempoh seminggu sebelum hari penilaian,” katanya sempena Program JIWA Komuniti Madani@Merdeka Peringkat Komuniti Putra Mahkota.

Aktiviti mengibarkan bendera mampu menyemai serta membina semangat patriotik kepada generasi muda.
Program ini dianjurkan secara kerjasama antara Komuniti Madani Putra Mahkota dan Persatuan Penduduk Pangsapuri Nuri, Seksyen 4 Bandar Bukit Mahkota dan dirasmikan oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Tazley Nik Nordin.
Selain pertandingan keceriaan merdeka, pelbagai aktiviti lain turut diadakan seperti pertandingan tulisan khat, pertandingan memasak rendang, pertandingan mewarna kanak-kanak, dan pertandingan sukan sepak takraw untuk pelbagai peringkat umur, yang berjaya menarik penyertaan daripada semua lapisan masyarakat.
-ZS-