
Laporan/foto: Mohamad Farid Izwan (Sarawak)
KUCHING, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Wartawan merupakan orang yang terpenting dalam menyalurkan berita sahih, tepat dan cepat kepada seluruh lapisan masyarakat di Malaysia sepanjang Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di Sarawak.
Sukan Para SUKMA 2024 sudah pun membuka tirai semalam dan semestinya orang ramai menantikan berita atau maklumat yang sahih, tepat dan terkini untuk mengetahui perkembangan sukan tersebut.
Menurut Henrietta Liza Balakrishnan, 40, tugas wartawan amatlah memerlukan disiplin yang tinggi kerana harus menyampaikan serta menyalurkan berita yang sahih dan tepat dengan kadar yang segera kepada orang ramai yang menantikan berita daripada sumber yang sahih sepanjang sukan Para SUKMA ini berlangsung.
Tambahnya, wartawan juga harus menitikberatkan etika kewartawanan dalam mengendalikan tugas sepanjang sukan para sukma ini nanti, supaya tidak berlaku sebarang kesalahan dalam menyampaikan berita kepada orang ramai.
“Banyak program yang dilaksanakan dalam satu masa merupakan cabaran yang hebat buat kami barisan wartawan kerana perkara ini menyebabkan kami lambat memberikan maklumat setiap program kepada orang ramai dan sekali gus menyebabkan berita tersebut menjadi basi,” katanya ketika ditemu bual semalam.
Sebelum mengakhiri sesi temu bual, beliau sempat berpesan kepada orang ramai agar sentiasa bijak dalam mendapatkan berita ataupun maklumat yang sahih untuk mengelak daripada menyebar berita palsu kepada orang lain.
-ZS-