Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Wayang Pacak Gamit Nostalgia Masyarakat Bersama JaPen

By 9 September 2024September 29th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Baling)

BALING, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Bunyi tembakan dan letupan menggamatkan suasana Kampung Binjul Dalam, Kuala Ketil diiringi suara esakan beberapa orang penduduk kampung.

Ianya adalah sebahagian daripada adegan tayangan wayang pacak filem Bukit Kepong yang diadakan sempena Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi Merdeka @ Komuniti MADANI Kampung Binjul Dalam, di sini semalam yang menyebabkan beberapa orang hadirin menitiskan air mata mengenangkan tragedi sebenar yang berlaku pada tahun 1950 itu.

Tayangan wayang pacak menggunakan peralatan moden berbeza dengan peralatan terdahulu.

Hampir 200 orang hadir menyaksikan tayangan wayang pacak walaupun cuaca seharian hujan.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Baling Amran Mohamad Kamis, Pejabat Penerangan Daerah Baling mengambil inisiatif mengadakan tayangan wayang pacak adalah bagi menggamit nostalgia Jabatan Penerangan suatu masa dahulu, yang menjadikan wayang pacak sebagai salah satu medium penyampaian maklumat kepada rakyat.

“Kerjasama yang baik daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Besah dan JPKKP Binjul Dalam membuktikan bahawa semangat ‘Jiwa Merdeka’ menebal dikalangan masyarakat,” ujarnya.

Hampir 200 orang hadir menyaksikan tayangan wayang pacak filem Bukit Kepong.

Seorang penduduk yang ditemui Nor Shatirah Che Su , 31 berkata beliau sangat teruja hadir dalam program ini sejak pukul 5.00 petang dan sanggup berhujan seharian demi menyaksikan tayangan wayang pacak yang julung kali diadakan di kampung ini.

Pelbagai pertandingan diadakan untuk penduduk kampung di antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak, timbang ribu, sepak penalti, memanah, pakaian bertema kemerdekaan dan hiasan pulut merdeka.

Program adalah kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Pejabat Kesihatan Daerah Baling, Perpustakaan Desa Baling, Celcom Digi dan Tadika Kemas Binjul Dalam.

-ZS-

Tinggalkan komen anda