
Laporan/foto: Mahyudin Abd Rani/Mohd Shahrizan Shahabudin (Seberang Perai Selatan)
JAWI, 28 Okt (Malaysiaktif) – Program Kayuhan Basikal sempena ulang tahun Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-75 telah berlangsung dengan meriah di Bukit Jawi Golf Resort, Nibong Tebal, semalam.
Kayuhan sejauh 21.8 km ini bermula di Bukit Jawi Golf Resort dan melalui beberapa kampung seperti Jalan Paya Kemian, Kampung Sungai Kechil, Kampung Besar, Kampung Sungai Buaya, Kampung Keda, Sungai Duri, Kampung Changkat Dain, Kampung Ladang Sempah, sebelum kembali semula ke Bukit Jawi Golf Resort.

Sesi bergambar peserta bersama TYT
Menariknya, TYT sendiri turut menyertai kayuhan ini bersama-sama lebih 200 peserta yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, pegawai jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).

Penyampaian cenderahati kepada TYT oleh Datuk Bandar Seberang Perai (dua dari kanan)
Datuk Bandar Seberang Perai, Baderul Amin Abdul Hamid, berkata acara tahunan ini dianjurkan secara bergilir-gilir antara Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), menjadi simbol kerjasama erat antara kedua-dua pihak dalam memperkasa gaya hidup sihat komuniti setempat.
Inisiatif ‘Gerobok Rezeki’ turut dilaksanakan, di mana seramai 100 penerima dari keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan.
“Penerima terdiri daripada 50 orang Wira Oren MBSP dan 50 penduduk sekitar Seberang Perai Selatan, hasil kerjasama erat antara MBSP dan Kelab Rakan Prihatin Pulau Pinang,” katanya.
Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-75 kepada TYT, dengan doa agar TYT sentiasa dirahmati Allah S.W.T. dan diberikan kesihatan yang baik untuk untuk terus menjadi tonggak utama kepimpinan Negeri Pulau Pinang.
-AA-