
Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 208 peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah di setiap daerah dalam Negeri Sembilan menghadiri Program Perkhemahan Negeri Sembilan sempena Ulang Tahun ke-100 Pandu Puteri Malaysia yang berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober lalu.

YM Raja Datin Seri Dato’ Salbiah bergambar kenangan bersama peserta.
Program yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Sembilan YM Raja Datin Seri Datuk Salbiah Tengku Nujumudin dan diadakan di D’Kok Camp Kampung Talang, di sini memberi penekanan kepada kesedaran terhadap kepentingan dan cara menjaga hutan.
“Sebagai barisan pelapis kepimpinan negara dan masyarakat pada masa hadapan, kepentingan memahami sistem perhutanan negara adalah penting sejajar dengan konsep Malaysia Madani iaitu mewujudkan persekitaran yang mampan dan sejahtera.
“Seiring dengan pembangunan semasa, hutan kita kini diancam atas nama pembangunan,” kata Pegawai Perhutanan Negeri Sembilan Rashidi Maisuri.

Peserta memasang khemah.
Menurut Rashidi lagi, ilmu penjagaan dan kepentingan hutan perlu diberi pendedahan kepada semua pihak khasnya generasi baru.
“Ini bagi membolehkan ekosistem, hutan dan hidupan di dalam hutan terjaga dan dapat mengelakkan kepupusan flora dan fauna,” katanya.
-ZS-