
Laporan/foto: Azrul Azham/Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Jerantut
JERANTUT, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Aplikasi MyIBJKM yang berperanan sebagai medium pengumpulan data bagi penyelarasan penyaluran bantuan semasa dan pasca bencana memudahkan proses pendaftaran mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Jerantut Nur Akmal Fatin Azahari aplikasi ini turut diberi penerangan dan pendedahan di program Latihan Amal Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang Zon 2 Tahun 2024.
“Melalui aplikasi ini, ia memudahkan proses pendaftaran mangsa di PPS menggunakan QR Code,” ujarnya ketika ditemui, di sini kelmarin.
Program latihan amal simulasi juga ini mensasarkan peranan dan tanggungjawab jabatan serta agensi berkaitan mengenai pengurusan bencana meliputi sebelum, semasa dan selepas bencana di samping dapat memantapkan dan mengeratkan lagi kerjasama strategik agensi kerajaan, swasta, pertubuhan sukarelawan,pemimpin tempatan dan komuniti dalam pengurusan bencana.
Antara agensi-agensi yang terlibat adalah seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pahang.
Sebanyak enam daerah terlibat iaitu Jerantut, Temerloh, Bentong, Raub, Lipis dan Cameron Highlands.
Pelbagai pengisian diadakan seperti taklimat agensi berkaitan, simulasi pembukaan pusat pemindahan sementara serta pameran agensi dan program telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Jerantut Datuk Shahrudin Jali.
-ZS-