
Laporan/foto: Muhammad Zarul Afify (Jasin)
JASIN, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menasihati ibu bapa supaya mengawal gerak-geri dan keselamatan anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini semasa dan selepas banjir.

Ketua Menteri Melaka menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.
“Berwaspadalah dalam berhadapan dengan keadaan cuaca tidak menentu ini kerana berdasarkan ramalan kaji cuaca, ketidaktentuan cuaca ini akan berlarutan sehingga hujung tahun ini,” katanya.
Ab Rauf, berkata demikian ketika turun padang meninjau keadaan dan melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Jasin, semalam.
Sehingga pukul 4.00 petang semalam sebanyak lima PPS dibuka di Jasin membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, SMK Datuk Abdul Rahman Yaakub, Sekolah Kebangsan (SK) Tedong, SK Serkam Darat dan SK Seri Mendapat yang menempatkan seramai 229 mangsa daripada 73 keluarga.

Sesi bergambar Ketua Menteri Melaka bersama petugas di PPS.
Selain mengadakan lawatan ke beberapa PPS Ketua Menteri Melaka turut menyumbangkan kit makanan, sumbangan tunai serta barangan keperluan kepada mangsa yang terjejas.
-ZS-