
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/PPD Hilir Perak
TELUK INTAN, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Fenomena air pasang besar dan hujan berterusan di daerah ini membuatkan beberapa buah sekolah di pekan Teluk Intan di sini pagi tadi berhadapan banjir bahkan ada kawasan sekolah terbabit dinaiki air sehingga mencecah paras betis.

Haji Shamsuddin (bertali leher) ketika menyantuni pelajar SJKC San Min 2
Pegawai Pendidikan Daerah Haji Shamsuddin Tajul Urus, berkata lima sekolah yang terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phooi Yong, SJKC San Min 1, SJKC San Min 2, SK Horley Methodist dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Horley Methodist.
“Situasi banjir yang berlaku adalah dalam keadaan terkawal dan pemantauan yang dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak mendapati air mulai surut sekitar tengah hari tadi.

Keadaan air di SJKC Phooi Yong mencecah paras betis
“Walaupun kebanyakan kawasan dinaiki air, peratus kehadiran pelajar di kesemua sekolah di daerah ini masih melepasi 90% kehadiran secara keseluruhannya,” ujarnya ketika dihubungi pagi ini.
Tambah Haji Shamsuddin, sekiranya keadaan banjir berterusan dan menjejaskan kawasan kelas, beliau mencadangkan proses pembelajaran dilaksanakan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Selain itu, kemudahan kenderaan juga disediakan oleh pihak PPD di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak untuk memudahkan perjalanan pelajar untuk pergi dan balik sekolah,” katanya.
-AA-