
Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Noorsiah Mahmud (Sabah)
PUTATAN, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Setiap tahun, pembentangan belanjawan menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia yang bakal mencerminkan bukan hanya keadaan ekonomi semasa tetapi juga visi kerajaan dalam merancang masa depan negara.
Dengan peningkatan peruntukan untuk pendidikan dan kesihatan, hingga kepada langkah-langkah untuk mengurangkan kos sara hidup, rakyat menantikan pengumuman yang mampu memberikan kelegaan dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Jefferdin Lee ketika ditemui di Putatan.
Ekosistem ekonomi yang kian mencabar, rakyat menginginkan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan 18 Oktober ini memperkasakan lagi inisiatif yang mesra rakyat antaranya menerusi bantuan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah.
Bertugas dalam syarikat swasta, Mohd Hafiz Hulmat, 40, berharap agar pihak kerajaan meneruskan pemberian bantuan bersasar kepada rakyat terutama dalam bidang pendidikan yang akan meringankan beban ramai keluarga kumpulan B40.
“Saya berharap agar Bantuan Awal Persekolahan (BAP) akan diteruskan lagi pada tahun hadapan bagi membantu meringan beban kewangan ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak yang pastinya akan sangat membantu kepada keluarga berpendapatan rendah,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Sementara itu Jefferdin Lee, 42, juga mengharapkan agar kerajaan meneruskan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi meningkatkan kuasa beli rakyat sekaligus membentuk ekosistem sosioekonomi yang positif.

3. Chia Fui Ping, ketika ditemui di salah sebuah kedai di Putatan.
“Saya juga berharap agar kerajaan dapat meneruskan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah kepada rakyat yang layak kerana sebagai rakyat saya melihat inisiatif tersebut mengakibatkan ekonomi terutama di peringkat komuniti serta Pengusaha Kecil Sederhana (PKS) bergerak dengan baik,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Chia Fui Ping, 55, beliau berharap kerajaan tidak hanya memberikan bantuan, tetapi juga mengambil inisiatif untuk menurunkan kos sara hidup yang membelenggu rakyat.
“Sudah semestinya saya berharap kerajaan meneruskan bantuan-bantuan sebelum ini, tetapi saya juga berharap inisiatif berkaitan dapat dilaksanakan untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup, dan memastikan harga-harga barang kawalan konsisten dan tidak berubah bila masuk di kawasan luar bandar,” katanya.
-ZS-