
Laporan/foto: Zayana Isa/Faizal Azrin
KUANTAN, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Belia di negeri Pahang berharap agar rakyat khususnya golongan belia mendapat akses pendidikan yang lebih berkualiti terutama di luar bandar.
Pengerusi Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) Paya Besar Mohd Mustaqim Zakaria, berkata untuk pembentangan Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan 18 Oktober ini diharapkan agar belia mendapat akses ke arah pendidikan yang lebih berkualiti.

Mustaqim (dua dari kiri) bersama ADUN Belia Negeri Pahang.
“Sebagai belia di negeri Pahang, saya berharap belia mudah mendapat akses pendidikan yang lebih berkualiti terutamanya bagi yang berada di luar bandar,” katanya kepada Malaysia Aktif, semalam.
Ujar beliau lagi, diharapkan agar pihak kerajaan turut memberi perhatian kepada golongan M40 di samping turut mengutamakan keperluan kepada golongan B40.
Bagi Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Pahang Wan Mohd Hafizul Wan Ismail pula, berkata beliau berharap belanjawan yang bakal dibentangkan ini meliputi semua aspek.

Wan Mohd Hafizul ketika ditemui Malaysia Aktif, malam tadi sempena sembang santai bersama belia Paya Besar.
“Jika dilihat pada pembentangan yang lalu, banyak peruntukan yang diberikan kepada golongan belia melalui Jabatan Belia dan Sukan dan ada saluran khas yang diperuntukkan kepada golongan muda untuk menjadi usahawan yang mana ia banyak membantu,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar Belanjawan 2025 ini dapat diteruskan bagi memastikan golongan belia dapat memperkukuhkan ekonomi khususnya di luar bandar.
-ZS-