Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Belanjawan 2025: Komuniti MADANI Pohon Kerajaan Tambah Baik Inisiatif Sedia Ada

By 18 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/Mohamad Ezwandi (Perak)

TELUK INTAN, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Komuniti MADANI di daerah Hilir Perak memohon kerajaan untuk menyediakan peruntukan tambahan bagi menambah peruntukan sedia ada dalam memantapkan usaha dan kerjasama strategik agar komuniti yang ditubuhkan ini dapat membantu penyampaian dasar dan maklumat kerajaan kepada masyarakat.

Setiausaha Komuniti MADANI Sungai Manik Mohd Noor Yaakub, berkata peruntukan yang disediakan untuk Komuniti MADANI di bawah seliaan Jabatan Penerangan (JaPen) ini perlu dikaji dan ditambah baik supaya lebih banyak program bersemuka dapat dilaksanakan di peringkat akar umbi.

Muhammad Hafiz (kanan) ketika menghadiri salah satu program Komuniti MADANI

“Sebagai contoh, isu jenayah siber yang semakin berleluasa pada hari ini dapat dibendung melalui penganjuran program yang khusus mengikut kawasan komuniti masing-masing,” ujarnya.

Bagi AJK Komuniti MADANI Bandar Baru Muhammad Hafiz Mohd Shaimi, dia berharap agar kerajaan dapat menyediakan lebih banyak ruang dan platform bagi golongan belia untuk terlibat dengan program sukarelawan dan kepimpinan.

“Selain itu, saya juga berharap akan ada insentif khas diwujudkan seperti geran padanan atau pembiayaan mikro diberi kepada anak muda yang terlibat dalam perniagaan dan keusahawanan,” katanya.

Belanjawan 2025 yang bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” merupakan belanjawan ketiga yang digarap oleh Kerajaan Madani yang bakal dibentangkan pada petang ini.

-AA-

Tinggalkan komen anda