Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Belanjawan 2025: Perkasakan Bengkel Kemahiran dan Galeri Kraf di Luar Bandar

By 15 Oktober 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Mohamad Akmal Ibrahim (Sabah)

KOTA KINABALU, 15 Okt (Malaysiaaktif) – Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) industri kraf tangan tempatan berharap kerajaan terus melaksanakan pemberian insentif serta melanjutkan program kemahiran pembuatan kraf kepada komuniti di kawasan luar bandar.

Pengusaha Batik Linut, Sharizan Asor, 38, berkata bengkel dan latihan di kawasan pedalaman akan membolehkan lebih ramai bakat baharu penggiat kraf dilahirkan sekali gus mengukuhkan lagi usaha melestarikan budaya tempatan.

Sharizan Asor mempamerkan corak dan warna tudung buatannya yang dihasilkan daripada linut iaitu sejenis makanan tempatan diperbuat daripada sagu pokok rumbia.

“Saya berasal daripada kawasan perkampungan di Sandakan dan kami di ajar oleh Kraftangan Malaysia untuk membuat batik linut menggunakan bahan mentah yang ada di kawasan kami, jadi ini adalah satu usaha baik untuk membangunkan ekonomi tempatan yang perlu diteruskan.

“Selain itu, saya juga berharap pihak industri menggiatkan lagi penganjuran festival kraf berskala besar agar PKS yang membuat kraf tangan ini mempunyai peluang dan platform dapat mempromosikan produk, kerana inilah salah satu lubuk kami usahawan meluaskan jaringan pelanggan,” ujarnya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Sementara itu, Pengiat kraf ukiran lepa, Muhd Rafi Barahim, 42, antara PKS kraftangan yang pernah menerima bantuan dari segi peruntukan untuk membina dan membaik pulih bengkel ukiran daripada Kraftangan Malaysia sejak tahun 2004.

Jelasnya, untuk mengukuhkan sesuatu produk kraf tangan, kementerian terlibat perlu melihat kepada perlunya mewujudkan sebuah galeri di sesuatu kawasan sebagai pusat setempat untuk pameran serta sumber maklumat program-program dianjurkan di bawah Kraftangan Malaysia.

“Selain mengimpikan sebuah premis kekal, saya memikirkan perlunya diwujudkan sebuah galeri di daerah atau kawasan perkampungan setempat sebagai usaha untuk mendidik generasi muda dalam seni ukiran.

3. Muhd Rafi Barahim bersama beberapa produk ukiran kayu yang dihasilkannya semasa Festival Kraf Borneo 2024 di Kota Kinabalu.

“Fasiliti ini boleh dimanfaatkan sebagai saluran maklumat berkenaan dengan program atau bantuan-bantuan khusus kepada penggiat industri yang berkenaan, seperti maklumat untuk membuat permohonan bantuan peralatan atau mesin,” jelasnya ketika ditemui semasa Festival Kraf Borneo (FKB) pada Ahad.

Untuk rekod, Belanjawan 2023 memperuntukkan RM1.16 bilion bagi mengurus dan pembangunan sektor pelancongan, seni dan budaya merangkumi RM200 juta untuk pemulihan sektor pelancongan bagi galakan, promosi dan pemasaran serta RM90 juta untuk Geran Padanan Galakan Melancong (GAMELAN), yang melibatkan kempen promosi dan pemasaran bersama industri.

Di peringkat kerajaan negeri setakat tahun 2024, seramai 21,925 orang telah mendapat manfaat daripada program-program kraf tangan yang dianjurkan oleh Kumpulan Yayasan Sabah melalui pejabat-pejabat zon dan Pusat Kraftangan Sabah (PKS).

-ZS-

Tinggalkan komen anda