Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Belanjawan 2025: RM5.9 Bilion Peruntukan untuk Pembangunan Sarawak

By 19 Oktober 2024Oktober 21st, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Safik Effendi Kassim

KUCHING, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan MADANI menunaikan kesepakatan dengan pemimpin terdahulu yang terkait dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan memperuntukkan sejumlah RM5.9 bilion untuk pembangunan di Sarawak.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat semalam berkata, Sarawak diberi perhatian khusus bertujuan untuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri khususnya melibatkan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih.

Selain itu, pemberian khas Sarawak tidak pernah dikaji sejak 1969 dan di bawah Kerajaan MADANI, kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah telah ditingkatkan sekali ganda kepada RM600 juta berbanding RM300 juta sebelum ini.

Anwar turut menambah, kerajaan telah memuktamad empat pakej kerja Sabah Sarawak Link-Road (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion dengan dua pakej sudah dianugerahkan manakala bakinya sebelum hujung tahun.

“Kerajaan juga bersetuju melaksanakan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Tawau, Sabah dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan kos 253 juta ringgit.

“Saya memuji kesediaan Sarawak untuk mendahulukan pembiayaan bagi membangunkan Pusat Kanser Sarawak menerusi kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak yang dianggarkan RM1 bilion,” katanya.

Belanjawan 2025 yang bertemakan ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’ merupakan belanjawan ketiga yang dibentangkan kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar sejak menjadi Perdana Menteri pada 24 Nov 2022.

-AA-

Tinggalkan komen anda