
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 23 Okt ( Malaysiaaktif ) – Golongan belia perlu bersifat proaktif untuk merebut peluang serta manfaat dalam Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
Menurut Presiden Majlis Belia Labuan Nazera Roslan, golongan belia perlu proaktif dalam memanfaatkan peluang yang telah diberikan oleh kerajaan melalui inisiatif seperti Ikhtiar 48: Anak Muda.

Program TUBE menanti warga belia yang berminat dalam keusahawanan.
“Program Latihan Khidmat Negara 3.0 yang diadakan semula mampu menawarkan pengalaman berharga dan pembangunan kemahiran kepimpinan kepada golongan belia.
“Bagi yang berminat dalam keusahawanan, mereka seharusnya mengambil peluang untuk menyertai Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang memberikan sokongan kewangan dan bimbingan,” katanya.
Jelasnya, belia boleh menggunakan Skim Step Up Financing untuk memiliki rumah pertama, dengan memahami syarat dan cara pembayaran balik yang ditawarkan.
Skim Step Up Financing diperkenalkan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dalam Belanjawan 2025 sebagai jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion khusus untuk golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama.
Skim ini menawarkan kemudahan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah bagi tempoh lima tahun pertama.

Program Latihan Khidmat Negara 3.0 kembali untuk menawarkan pengalaman berharga dan pembangunan kemahiran kepimpinan.
“Selain itu, dengan menyertai program-program latihan industri di bawah Geran Padanan Program Latihan Industri Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES), selain mendapatkan pengalaman praktikal dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan meningkatkan kebolehan mereka di pasaran kerja.
“Secara keseluruhan, belia perlu mengambil inisiatif untuk mencari maklumat, menyertai program yang sesuai, dan membina rangkaian yang dapat membantu mereka memanfaatkan semua peluang yang ada,” katanya semasa bersiaran dalam Program Bicara Eksklusif LABUANfm semalam.
Tambahnya, peningkatan peruntukan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada RM7.5 bilion menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkasa belia terutamanya dengan memberi keutamaan kepada kerjasama dengan industri dan menyediakan peluang latihan bagi belia rentan, termasuk mereka daripada kelompok miskin bandar, terpinggir, pedalaman serta Orang Asli.
-ZS-