
Laporan/foto: Nurul Ain/Albaihaki Awang (Politeknik Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Pusat Teknologi atau Centre of Technology (COT) berperanan dalam mengukuhkan kerelevanan dan keresponsifan program pengajian di politeknik agar ianya selari dengan kehendak pembangunan ekonomi negara.
“Usaha sebegini diharap dapat merealisasikan matlamat jabatan dan kementerian untuk menjadi penyedia utama TVET negara selain daripada memupuk bakat dan kemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan industri yang kian berkembang agar setaraf dengan negara maju.

Rumzi ketika berucap merasmikan majlis.
“Majlis pada hari ini sangat signifikan kerana ia merupakan manifestasi komitmen untuk memberi pengiktirafan dan penganugerahan kepada kecemerlangan institusi melalui kekuatan pencapaian bagi setiap elemen yang ditetapkan dalam Centre of Technology,” katanya.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Muhamad Rumzi Mamat, berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Industry Education Collaboration (IEC) POLYCC Tahun 2024.
Majlis anjuran Bahagian Perancangan Program dan Institusi (BPPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama Politeknik Kuala Terengganu yang diadakan di sebuah hotel, di sini kelmarin bertujuan untuk meraikan COT Politeknik yang cemerlang dalam bidang tujahan masing masing.
Politeknik yang cemerlang dinilai melalui tujuh elemen iaitu kolaborasi, penyelidikan dan inovasi, khidmat kepakaran, penerbitan, pengiktirafan, pengajaran dan pembelajaran serta penjanaan pendapatan.

Rumzi menyampaikan plak kepada peserta Politeknik METrO Kuala Lumpur atas pengisytiharan sebagai Industry on Campus (IOC) 2024.
Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Shah Alam berjaya menggondol enam anugerah kecemerlangan COT bagi tahun 2022 dan 2023 sekali gus dinobatkan Pemenang Keseluruhan Anugerah Kecemerlangan COT Terbaik bagi tahun 2022 dan 2023 (Diamond Award).
Selain itu, Politeknik METrO Kuala Lumpur telah diisytihar sebagai Industry on Campus (IOC) 2024 di mana ia adalah satu inisiatif membawa persekitran sebenar industri ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Arau pula mendapat pengiktirafan dua bintang COT.
Turut hadir Pengarah BPPI, JPPKK A. Azman Arshad dan Pengarah Politeknik Kuala Terengganu Nadzri Che Kamis.
-ZS-