
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)
KOTA KINABALU, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Dalam era digital hari ini, media sosial telah menjadi platform penting untuk perkongsian ilmu perubatan dan kesihatan terutama dalam kalangan pegawai perubatan.
Dengan keupayaan untuk menjangkau golongan sasar yang luas, maklumat mengenai penjagaan kesihatan penyakit, dan rawatan dapat disebarkan dengan cepat dan berkesan terutama kepada penduduk di pedalaman.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, Jabatan Penerangan Sabah, Geraldine Voo menyampaikan sijil penghargaan kepada Dr. Rizin.
Menurut Pegawai Perubatan Swasta Dr. Rizin Kusop, perkongsiannya di media sosial bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya ilmu perubatan sebagai langkah pencegahan awal kepada sebarang penyakit.
“Apa yang saya sampaikan adalah fakta perubatan. Ilmu pengetahuan tentang kesihatan adalah ubat terbaik agar kita sentiasa mengambil langkah berhati-hati kerana adalah lebih baik masyarakat tahu gaya hidup sihat yang perlu diamalkan mengelakkan penyakit.
“Tanpa ilmu kesihatan, agak sukar untuk kita melaksanakan tanggungjawab, contohnya dalam bekerja atau sebagai ibu bapa. Namun, mereka yang berpengetahuan sekurang-kurangnya dapat mencegah penyakit,” katanya dalam program Influencer@JAPEN, di sini pada Sabtu.
Dalam program tersebut, beliau turut berkongsi tentang bahaya gula kepada kesihatan yang boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik termasuk kanser.
“Kita mesti sentiasa melawan kanser walaupun kita tidak tahu kita menghidapnya. Salah satu cara untuk melawan kanser adalah dengan mengurangkan pengambilan gula dalam makanan seharian kita.

Dr. Rizin (kiri) dalam rakaman program Influencer bersama pemudah cara Nuzuluddin Abdul Razak.
“Ini kerana gula bukan penyebab utama, tetapi ia merupakan penyumbang kepada perkembangan kanser yang sudah wujud.
“Jadi, jika sudah ada kanser tetapi kita tidak mengambil gula, mungkin ia akan mati sendiri jika daya tahan badan kuat. Namun, jika ada kanser dan ditambah dengan pengambilan gula, ia akan mempercepatkan pertumbuhannya,” ujarnya.
Untuk makluman, Dr. Rizin memuat naik kandungan video keterangan mengenai pelbagai soalan isu kesihatan yang diterima daripada orang awam atau yang sedang mendapat perhatian ramai.
-ZS-