
Laporan/foto: Amalina Shazwani Md Suhaimi/Pejabat Daerah Barat Daya
GEORGE TOWN, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Menjelang pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat melahirkan harapan agar tema ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’ dapat direalisasikan dan memberi impak besar kepada ekonomi dan kesejahteraan hidup mereka.

Ramasamy berharap proses permohonan bantuan dijalankan dengan lebih mudah.
Pekebun kecil dari Balik Pulau Ramasamy, 67, meluahkan kebimbangan mengenai kos sara hidup yang semakin menekan.

Ramli berpandangan agar lebih banyak peluang pekerjaan dibuka kepada anak muda.
“Saya berharap agar bantuan untuk kumpulan pekebun kecil dipertingkatkan dan proses permohonan dipermudahkan, janganlah ada banyak birokrasi dan syarat permohonan yang menyulitkan kami,” katanya.
Sementara itu pengawal keselamatan, Ramli Ahmad, 59, berharap agar kerajaan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.
“Terutamanya graduan, saya dengar tahun 2024 banyak pelabur masuk ke Malaysia, inilah masanya untuk mencipta peluang baharu,” katanya, semalam.
Fazlina Norden, 42, pula menyuarakan hasrat agar bantuan disalurkan secara menyeluruh.

Fazlina Norden menyuarakan hasrat agar bantuan tidak hanya tertumpu kepada kelompok tertentu sahaja.
“Jangan hanya tumpukan kepada kelompok tertentu sahaja kerana cabaran ekonomi yang kita hadapi, semua lapisan masyarakat dari B40, M40, hingga T20 merasai beban ini,” katanya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan dari Tasek Gelugor.
Seorang peniaga Lim Sim Ooi, 53, berkata kos sara hidup kini semakin tinggi.
“Harga barang naik dan keuntungan berniaga semakin menyusut,” katanya.

Lim Sim Ooi.
Dengan pelbagai harapan yang disuarakan rakyat, Belanjawan 2025 diharapkan bukan sahaja mampu memenuhi keperluan semasa tetapi juga membawa Malaysia ke arah ekonomi yang lebih sejahtera untuk semua.
-ZS-