
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Mangga harumanis bukan sahaja dikenali sebagai buah yang lazat dengan kualiti premium, tetapi juga telah menjadi salah satu sumber ekonomi yang penting bagi rakyat negeri Perlis.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Seri Haji Mohamad Sabu kadar pengeluaran mangga seluruh Malaysia ada sebanyak 19.0 SSR, ini menunjukkan peluang permintaan mangga masih tinggi dan sangat sesuai untuk terus diperkembangkan lagi.

Antara 500 peserta yang menyertai Persidangan Mangga Harumanis Kebangsaan 2024 di Dewan 2020.
“Sebagai sebuah negeri yang telah lama dalam industri tanaman mangga harumanis, saya berharap Negeri Perlis dapat melahirkan tenaga kerja mahir di dalam bidang mangga harumanis yang mendapat pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), seterusnya dapat menyumbang kembali dalam produktiviti pengeluaran mangga harumanis yang berkualiti.
“Ia juga telah dikembangkan ke Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Dengan potensi besar yang dimiliki oleh industri ini, kita harus terus memanfaatkan peluang yang ada untuk mengembangkannya lagi ke tahap yang lebih cemerlang,” ujarnya.
Teks ucapan Mohamad dibacakan Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi yang mewakili beliau merasmikan Persidangan Mangga Harumanis Kebangsaan 2024 di Dewan 2020, di sini semalam.
Tambahnya lagi, antara aspek utama yang perlu diberi keutamaan adalah dari sudut kemajuan inovasi dan teknologi.
“Dalam era moden ini pengaplikasian teknologi pertanian pintar adalah menjadi satu keperluan.

Jualan anak pokok harumanis turut diadakan.
“Bukan sahaja dapat meningkatkan hasil pengeluaran tetapi juga memastikan kualiti buah mangga harumanis terus berada di tahap tertinggi,” katanya.
Seramai 500 peserta terdiri dari seluruh Malaysia menyertai persidangan yang berlangsung selama dua hari ini dengan 15 kertas pembentangan di mana dua daripadanya adalah daripada penyelidik dari negara Indonesia.
Untuk rekod, sehingga kini keluasan keluasan tanaman harumanis di negeri Perlis telah mencapai sehingga 1,745.79 hektar di mana kawasan berhasil telah mencecah 1,611.59 hektar berbanding keluasan seluruh kawasan penanaman mangga Malaysia adalah 4,415.28 hektar.
Pengeluaran mangga harumanis Perlis pada tahun 2024 pula adalah sebanyak 2,022 tan dengan nilai RM46,512,782.00, melibatkan seramai 2,693 orang para petani.