Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Ikan Bakar Kampung Air Sumber Rezeki Ibu Tunggal

By 19 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)

KOTA KINABALU, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Ikan bakar adalah hidangan yang sangat terkenal di kalangan peminat makanan laut di Sabah dan sering disajikan dengan pelbagai aneka sambal yang membangkitkan selera.

Antara hidangan yang terdapat di gerai Ainah

Antara lokasi yang wajib dikunjungi untuk menikmati juadah ini ialah di Kedai Kopi Fun Sen Kampung Air dengan pelbagai pilihan kedai antaranya dimiliki oleh seorang peniaga ikan bakar veteran, Ainah Balimbingan.

Dengan menyewa tapak gerai, ibu tunggal berusia 62 tahun, berkata beliau telah mengusahakan perniagaan tersebut sejak enam tahun lalu sebagai punca pendapatan utama lebih-lebih lagi apabila kehilangan suami pada tahun 2009.

“Selama bertahun-tahun menjalankan perniagaan, ini adalah rutin harian saya untuk turun ke pasar ikan seawal antara tiga hingga lima pagi untuk mendapatkan bekalan ikan segar untuk dimasak.

“Sejak suami meninggal dunia, tekad untuk meneruskan hidup ini dengan lebih baik, ini adalah usaha saya untuk mencari pendapatan bagi menyara hidup. Jika tidak begini, bagaimana saya dapat duit untuk tampung kehidupan?” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Air di sini, kelmarin.

Menurut Ainah, harga ikan di gerainya ditentukan berdasarkan saiz dan pelbagai pilihan jenis dengan harga maksimum RM18.

Ainah (tiga dari kanan) bersama lima orang pembantu di gerainya

“Ada pelbagai jenis ikan boleh dipilih antaranya ikan uji rashid, tuna, ikan putih, sardin, tengiri, tulai, lumahan, belawis, udang, dan sotong dengan harga serendah RM5 hingga RM18, dan kadang-kadang ikan kecil saya jual tiga ekor dengan harga RM10.

“Kalau pelanggan kebanyakkannya pelanggan tetap, tidak kurang juga, ada pelanggan dari semenanjung yang datang setelah mengetahui gerai saya melalui platform Facebook,” ujarnya lagi.

Menariknya, antara pelanggan tetap ikan bakar Ainah ialah Pengarah Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka, Norena Jaafar.

Menurut Norena, sambal belacan yang dihidangkan dengan bersama ikan bakar mempunyai rasa yang unik dan berbeza daripada tempat-tempat lain.

“Saya sudah dua kali datang ke sini. Saya suka sambal belacannya ia sedap dan lain daripada yang ada di semenanjung.

“Apa yang membuat saya ingin kembali ke kedai ini adalah keaslian rasanya. Ikan merahnya segar, bukan ikan beku. Di semenanjung, kami biasanya campur dengan kuah sambal, tetapi di sini, semuanya asli dan berkhasiat,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda