
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Kebocoran injap tangki sebuah kilang di kawasan Industri Rawang Integrated di sini disyaki menjadi punca Sungai Gong tercemar.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin, berkata siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati kebocoran tangki berkapasiti 1.84 meter padu itu menyebabkan anggaran 1.23 meter padu kapasiti aliran minyak melimpah keluar dan masuk ke longkang berhampiran seterusnya ke Sungai Gong.
“LUAS telah mengarahkan pihak premis menghentikan aliran minyak tersebut serta-merta termasuk meletakkan pasir di kawasan tumpahan minyak di dalam premis sebagai tindakan kawalan.

Seorang petugas LUAS sedang memeriksa injap tangki sebuah kilang yang bocor dan menjadi punca Sungai Gong tercemar.
“Pemberitahuan Bertulis di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 turut dikeluarkan kepada premis terlibat untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan pembersihan dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, LUAS menerusi rondaan rutin telah mengesan kesan dan bau minyak di Sungai Gong dengan bacaan bau 1 ton sekitar pukul 9.50 pagi.
Katanya, LUAS telah meletakkan sebanyak empat unit oil boom dan 22 keping oil pad di keseluruhan longkang dan premis terlibat serta di Sungai Gong sebagai langkah kawalan pencemaran.
“Kerja pembersihan dan penyedutan sisa minyak di kesemua lokasi terlibat merangkumi di Sungai Gong, di dalam premis dan kawasan longkang berhampiran telah dilaksanakan oleh kontraktor dilantik dan selesai hari ini.
“Sebanyak 10,000 liter isipadu air yang tercemar dengan sisa minyak telah dibersihkan dan disedut melibatkan satu buah lori tangki berkapasiti 13,000 liter,” jelasnya.
Ujarnya, LUAS seterusnya telah melakukan verifikasi di semua lokasi terlibat dan pencemaran berjaya dikawal sepenuhnya dimana bacaan bau serta keadaan sungai adalah normal.
“LUAS juga telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen79 (1) Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap pihak terlibat,” katanya.
-ZS-