Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Islam Sebagai Panduan Hidup yang Inklusif

By 8 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Agku Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)

TAWAU, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Masyarakat Islam di daerah Tawau diseru untuk mengamalkan cara hidup yang dianjurkan oleh agama melalui ajaran al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata Islam bukan sekadar sistem kepercayaan, tetapi juga merupakan panduan dalam semua aspek kehidupan, termasuk pentadbiran negara dan ekonomi.

Sekitar suasana majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul SAW peringkat Perbandaran Tawau.

“Islam yang diamalkan di negara ini telah mengubah cara hidup masyarakat menjadi lebih baik dari semua segi.

“Jika umat Islam terus mengikuti jejak Rasulullah, kita pasti akan meraih kejayaan dalam setiap usaha,” katanya ketika ditemui pada majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul S.A.W peringkat Perbandaran Tawau, di sini pada Ahad.

Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Nizam juga mengungkapkan rasa gembira dengan sambutan yang menggalakkan masyarakat setempat untuk memeriahkan majlis tersebut walaupun dalam keadaan hujan.

“Semangat sebegini amat dihargai, menunjukkan kecintaan masyarakat Tawau terhadap program keagamaan. Sebagai pemimpin, saya berharap program keagamaan dapat dilaksanakan lebih kerap untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Kerajaan negeri juga sentiasa menyokong dan menyediakan peruntukan bagi penganjuran program berbentuk keagamaan,” ujarnya.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan ceramah dan persembahan oleh pendakwah terkenal daripada Indonesia iaitu Ustaz Derry Sulaiman, yang juga dikenali ramai dengan lagu keagamaan bertajuk ‘Dunia Sementara Akhirat Selamanya’.

Tuan Hj. Marsus Wahid tokoh Maal Hijrah Peringkat Perbandaran Tawau.

Untuk rekod, majlis tersebut berjaya menghimpunkan kira-kira 10,000 umat Islam di daerah ini dengan melibatkan sebanyak 67 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan yang melalui beberapa kawasan di sekitar bandar Tawau.

-ZS-

Tinggalkan komen anda