Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanLabuan

JIM Labuan Tahan Empat Warga Filipina Tanpa Pas yang Sah

By 17 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/JIM Labuan

LABUAN, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan empat orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina selepas dikesan tinggal dan bekerja di Labuan tanpa pas yang sah dalam tiga operasi yang dijalankan secara berasingan pada 14 Oktober lalu di sekitar Labuan.

Raymond Entalai.

Menurut Pengarah JIM Labuan Raymond Entalai operasi itu dijalankan oleh tujuh orang pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa, JIM Labuan.

“Hasil pemeriksaan seramai tiga orang perempuan dan seorang lelaki warganegara Filipina telah ditahan kerana masing-masing disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Kesemua yang ditahan berumur di antara dua puluh hingga dua puluh tujuh tahun, dua saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan tersebut bagi membantu siasatan dan kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan serta Depot Imigresen Labuan untuk siasatan susulan jabatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelasnya, operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Penguatkuasa JIM Labuan sedang meneliti dokumen beberapa individu yang diperiksa.

“JIM mengingatkan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang dan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut,” tambahnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda