
Laporan/foto: Genda Sating (Sarawak)/JPN Sarawak
KUCHING, 28 Okt (Malaysiaaktif) – Waris atau golongan yang tiada keupayaan fizikal kini tidak perlu khuatir dan bersusah-payah untuk berurusan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan adanya MyMekar Ehsan yang akan memberikan perkhidmatan terus di kediaman pemohon.

MyMekar Ehsan memberikan perkhidmatan terus di kediaman pemohon.
MyMekar Ehsan merupakan satu projek inovasi permohonan secara dalam talian oleh sembilan orang ahli Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) ‘The Registrar’ pada 19 Januari 2021 yang diketuai oleh Penolong Pegawai Pendaftaran Erna Malina Onn.
Menurut Erna, 43, sebelum ini beliau melihat sendiri akan kesukaran golongan yang tiada keupayaan fizikal datang berurusan di pejabat JPN.
“Justeru itu, setelah mengambil kira perkara tersebut, maka timbul idea penyediaan perkhidmatan MyMekar Ehsan yang mula bergerak pada tahun 2022,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Mekar Sarawak Shahril Rupin, 37, berkata pada tahun ini JPN Sarawak telah menerima sebanyak 3,616 permohonan.
“Kebiasaannya, pasukan MyMekar yang dianggotai oleh empat orang kakitangan JPN akan bergerak menemui penama dan pemohon setelah mendapat maklumat yang telah disahkan oleh anggota JPN,” jelasnya.
Sehubungan itu, pewaris atau penjaga golongan tiada keupayaan fizikal yang memerlukan perkhidmatan di bawah JPN kini hanya perlu melengkapkan borang yang boleh didapati secara online di https://sites.google.com/view/mekarkuching.
Antara perkhidmatan yang disediakan oleh MyMekar Ehsan adalah termasuk urusan berkaitan kad pengenalan sama ada untuk permohonan, penggantian dan penukaran alamat dan lain-lain perkhidmatan di bawah JPN.
MEKAR merupakan inisiatif prihatin terbaik JPN dalam menyokong aspirasi Malaysia MADANI untuk memberi perkhidmatan JPN terus kepada rakyat terutama golongan yang memerlukan seperti warga emas, orang kelainan upaya (OKU), pesakit terlantar, pesakit mental dan mereka yang tiada keupayaan untuk hadir ke mana-mana pejabat JPN untuk mendapatkan perkhidmatan.
-ZS-