
Laporan/foto: Juhaisa Azrin / Nur Bazilah
LIPIS, 23 Okt (Malaysiaaktif) – “Kerepek Pisang Ketagih” yang diusahakan oleh Nor Bai’ayah Ilias, 40, sememangnya mampu memberikan pendapatan lumayan kepada usahawanita ini.

Puan Nor Bai’ayah dihadapan bengkel kerepek pisangnya
Ibu tunggal kepada lima cahayamata ini telah memulakan perniagaan tersebut sejak 10 tahun lalu dan pasaran yang dahulunya terhad kepada penduduk sekitar di Kampung Binjai kini telahpun diperluaskan.
“Alhamdulillah, kerepek pisang ini saya pasarkan di sekitar Bandar Lipis dan adakalanya mendapat tempahan hingga ke Kuala Lumpur, Johor dan Kuantan.
“Saya sangat berterima kasih di atas bantuan pihak kerajaan seperti geran Sejati Madani di mana saya merupakan antara ahli yang memperoleh manfaat dan ianya sangat membantu dalam mengembangkan lagi perusahaan saya ini,” ujarnya ketika ditemui di sini, semalam.

Stok kerepek pisang yang siap diproses dan akan dibungkus
Tambahnya, beliau amat bersyukur di atas bantuan serta sokongan dan peruntukan Sejati Madani tersebut yang membolehkan beliau menambahbaik bengkel perusahaannya bagi menampung tempahan kerepek yang tinggi.
“Pisang yang digunakan adalah jenis pisang tanduk yang diperoleh dari pekebun sekitar Lipis dan anggaran keperluan setiap minggu bagi menghasilkan kerepek pisang ini adalah melebihi 100 kilogram,” ujarnya lagi.
Kepada yang ingin mencuba akan kelazatan “Kerepek Pisang Ketagih” ini yang didatangkan dengan dua perisa masin dan manis boleh mendapatkannya di Desa Mall Lipis, Petronas Kuala Lipis, Qalish Bakery, Koopkaya Relong atau menghubungi terus Nor Bai’ayah di talian 019-9712871.
-AA-