
Laporan/foto: Mohd Alihanafiah (Hilir Perak)/Mohd Noor Yaakub (KM Sungai Manik)
TELUK INTAN, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Fenomena air pasang besar dan hujan berterusan sejak minggu lalu yang mengakibatkan banjir di kawasan sekitar Sungai Manik menjejaskan kediaman penduduk di beberapa kampung berhampiran.
Kelmarin, apabila paras air mulai surut, sebilangan mangsa banjir di Kampung Sungai Tungku dan Kampung Kunci Air Empat yang menumpang di rumah saudara-mara mula menjenguk ke kediaman masing-masing untuk membersihkan rumah dan kawasan sekitarnya.

Hisamuddin (kanan) ketika membuat edaran pek makanan dari rumah ke rumah.
Komuniti MADANI Sungai Manik dengan kerjasama beberapa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) ‘turun padang’ membuat edaran pek makanan dan minuman kepada mangsa banjir di kampung tersebut, di sini petang kelmarin.
Timbalan Ketua Komuniti MADANI Zainuddin Mat Husin, berkata inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban selain memberi sokongan moral kepada penduduk yang bekerja keras membersihkan kawasan rumah yang telah dinaiki air.
“Usaha kami hari ini dipimpin oleh Ketua Komuniti MADANI Hisamuddin Ali dan mendapat kerjasama baik daripada beberapa Pengerusi JPKK dalam Mukim Sungai Manik.

Salah seorang mangsa banjir menerima pek makanan yang diedarkan.
“Kami mengumpul dana untuk menyediakan pek makanan sebelum diagihkan kepada penduduk yang terkesan,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Zainuddin, Komuniti MADANI sentiasa berusaha untuk membantu masyarakat setempat dengan apa jua cara mengikut kemampuan yang ada.
Ketua Komuniti MADANI Chenderong Balai Abd Haris Shafii bersama beberapa orang ahli jawatankuasa turut hadir menyertai misi bantuan yang melibatkan lebih 20 buah rumah di kawasan itu.
-ZS-