
Laporan/foto: Dhaifanzufar Dazuka (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 17 Okt (MalaysiaAktif) – Komuniti media di negara ini terus dibantu menerusi Tabung Kasih@HAWANA sejak diperkenalkan pada April tahun lalu.

Teo Ni Ching (iri) menyantuni K.Loganathan (kanan), petugas akhbar Malaysia Nanban yang mengalami masalah kesihatan di rumah kediamannya
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata pihaknya sentiasa komited menyantuni pengamal media yang memerlukan melalui inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).
Menurutnya, tabung tersebut bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media, sama ada masih berkhidmat atau telah bersara, mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.
“Setakat ini, seramai 158 rakan media telah menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA dengan nilai suntikan dana sebanyak RM1 juta.

Teo Ni Ching bercakap pada sidang media selepas penyampaian sumbangan Tabung Kasih@Hawana kepada penerima bantuan
“Kita akan berusaha mencari lagi sehingga mencapai sasaran 200 rakan media yang memerlukan bantuan untuk kita santuni,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan sempena Sambutan Hari Deepavali kepada petugas akhbar Malaysia Nanban, Loganathan Kullayiram, 43, yang mengalami masalah kesihatan di kediamannya di Bestari Jaya, semalam.
Turut hadir Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj.
Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bagi menyantuni wartawan dan petugas media yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.
-AA-