Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Lebih 500 Meriahkan Program Jelajah Sejahtera Desaku@Pasir Bedamar

By 8 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/PDT Hilir Perak

TELUK INTAN, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Lebih 500 masyarakat pelbagai kaum hadir memeriahkan Program Jelajah Sejahtera Desaku@Pasir Bedamar yang berlangsung di Arena Square, Kampung Jaya, di sini kelmarin.

Mufidah ketika menyampaikan bantuan kepada salah seorang penduduk.

Menurut Pegawai Daerah Hilir Perak Mufidah Mahfodz, program Jelajah Sejahtera Desaku Negeri Perak merupakan inisiatif kerajaan negeri yang dilaksanakan untuk memperkasa institusi pentadbiran kampung dan pada masa sama bertujuan mensejahterakan komuniti desa.

“Program tersebut dianjurkan sebagai satu langkah proaktif yang diambil bagi memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap pembangunan sosial kawasan desa.

“Di dalam negeri Perak ada 17 desa yang telah dipilih dan tahniah, Pasir Bedamar merupakan lokasi yang ke-16 terpilih untuk dijelajahi oleh kerajaan negeri,” katanya ketika menyampaikan ucapan.

Antara pengisian program termasuk gunting rambut percuma dan tukar minyak hitam percuma dengan kedua-duanya terbuka kepada 50 peserta terawal, Program Jualan Rahmah, cabutan bertuah, sukaneka rakyat serta pameran daripada jabatan dan agensi.

Program tukar minyak hitam percuma oleh warga GiatMARA Teluk Intan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Durian Sebatang Mohd Azmi Yusof, berkata sambutan yang diterima adalah sangat menggalakkan apatah lagi pengunjung yang hadir terdiri daripada pelbagai lapisan masyakat berbilang kaum dan agama.

“Saya berpandangan pendekatan program ini mencapai matlamat yang disasarkan dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti menarik lagi bermanfaat,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda