Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

MTHQWP sebagai Panduan Memasyarakatkan Al-Quran

By 18 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Hafizee Md Hashim/Muhaimin Musa (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan (MTHQWP) bertujuan untuk membumikan Kalimah Toyyibah sebagai panduan kehidupan sekali gus memasyarakatkan al-Quran dalam semua aspek.

Ucapan majlis penutup oleh Dr. Mohd Na’im.

“Adalah penting kepada kita untuk melahirkan generasi yang boleh menjadi Qudwah Hasanah kepada masyarakat.

“Kejayaan negara terletak pada penghayatan ajaran al-Quran dalam setiap aspek kehidupan, termasuk hubungan kekeluargaan dan sosial,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Dr. Mohd Na’im berkata demikian ketika menyempurnakan Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1446H/2024M yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini semalam.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan (MTHQWP) adalah program tahunan yang dianjurkan bertujuan untuk memartabatkan kitab suci al-Quran yang menjadi panduan dan rujukan utama seorang muslim selain memilih calon untuk mewakili Wilayah Persekutuan ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK).

Para tetamu yang hadir pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan.

Pemilihan pemenang dibuat berdasarkan kriteria penghakiman iaitu tajwid, taranum, fasohah dan suara bagi kategori tilawah manakala hafazan dan lancar, tajwid, fasohah, tarannum, suara dan persembahan dan tafsir bagi kategori hafazan.

Johan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H masing-masing menerima wang tunai RM7,000, Hadiah Menunaikan Umrah bernilai RM8,000, Piala Pusingan, Piala Iringan, hadiah iringan dan sijil.

Manakala Johan Majlis Hafazan al-Quran Kategori 1-30 Juzuk menerima wang tunai RM7,000, Hadiah Menunaikan Umrah bernilai RM8,000, piala iringan, hadiah iringan serta sijil; Bagi Kategori 1-20 Juzuk, Johan akan menerima wang tunai RM5,000, piala iringan, hadiah iringan serta sijil; Bagi kategori 1-10 juzuk pula Johan akan menerima wang tunai RM4,000, piala iringan, hadiah iringan serta sijil.

-ZS-

Tinggalkan komen anda