Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanLabuan

Ops Mega Akta 852 Labuan Temui Tujuh Kesalahan

By 22 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dijalankan di sekitar Labuan pagi tadi berjaya menemui tujuh kesalahan.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr. Francis Paul, kesalahan-kesalahan itu dikesan selepas pihaknya membuat pemeriksaan di 127 buah premis.

Penguatkuasa Jabatan Kesihatan sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik kedai yang melanggar Akta 852.

“Kita menemui dua kesalahan di bawah Seksyen 14(4) – Harga Minima Rokok yang membawa kepada denda di antara RM20,000 hingga RM100,000 bagi setiap kesalahan dan lima kesalahan di bawah Seksyen 16(2) – Tempat Larangan Merokok yang membawa kepada denda maksima RM5,000 bagi setiap kesalahan.

“Operasi dijalankan dengan Kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Perbadanan Labuan melibatkan kekuatan keseluruhan anggota seramai 70 orang,” katanya yang ditemui media selepas operasi tersebut, di sini pagi tadi.

Jelasnya, operasi itu bertujuan untuk menghebahkan kepada semua kementerian dan agensi berkaitan, badan profesional, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan peniaga dan pengguna serta seluruh lapisan masyarakat di Wilayah Persekutuan Labuan khususnya supaya dapat bersama-sama memberikan sokongan dan kerjasama dalam menguatkuasakan Akta 852.

Francis (empat dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang ditemui pada operasi itu.

“Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] dan perundangan subsidiari mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024 dengan objektif mengurangkan kesan buruk amalan merokok yang berleluasa, termasuk aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak dan remaja,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda