
Laporan/foto : Zamrud Laili Mohd Mustap/ Sufian Rashid
BUKIT MERTAJAM, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Pasangan kembar dari Kolej Komuniti Gerik, Perak dinobatkan sebagai juara Pertandingan “Young Modest Fashion Designers Fest V2” selepas menewaskan 16 Kolej Komuniti dan satu politeknik dari seluruh negara, di sini, hari ini.

Pasangan kembar teruja ketika temu bual
Pasangan kembar tersebut, Muhamad Syazwan Mohd Nasir dan Muhamad Syazni Mohd Nasir, 19, membawa pulang wang tunai RM500 beserta trofi dan sijil penyertaan. Naib johan pertandingan dimenangi oleh peserta dari Kolej Komuniti Bukit Mertajam dengan menerima wang tunai sebanyak RM300 beserta trofi dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga dimenangi oleh peserta dari Kolej Komuniti Kuala Terengganu dengan membawa pulang RM200 beserta trofi dan sijil penyertaan.
Dalam pada itu, Anugerah Rekaan Terbaik Pilihan Industri dimenangi oleh Kolej Komuniti Pasir Gudang dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM700, trofi dan sijil penyertaan.
Muhammad Syazwan Mohd Nasir ketika ditemui, berkata kemenangan tersebut adalah hasil sokongan pensyarah dan ahli keluarga yang sentiasa memberi semangat secara berterusan.

Antara hasil rekaan pakaian yang dipertandingkan
“Saya amat teruja kerana rakan-rakan yang bertanding turut mempamerkan kreativiti yang sangat memberangsangkan.
“Pertandingan sebegini perlu dilaksanakan secara berterusan kerana dapat mengasah bakat pelajar dalam menghasilkan rekaan yang kreatif, islamik dan moden sekaligus membuka ruang kepada pelajar untuk memperluaskan lagi idea terhadap rekaan pakaian,” katanya.
Pertandingan Young Modest Fashion Designers Fest V2 yang berlangsung di Politeknik Seberang Perai Pulau Pinang sejak 23 Oktober 2024 dan berakhir hari ini bertujuan mengasah bakat pelajar dalam menghasilkan rekaan kreatif pakaian bercirikan moden dan sopan.
Perasmian penutup disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.
Hadir sama, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Dato’ Kamarul Haizal Koderat dan Pengarah Kolej Komuniti Bukit Mertajam, Eni Aznan.
-AA-