Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

PDRM Seru Masyarakat Cakna Tentang Jenayah Pemerdagangan Orang

By 11 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/Farid Izzemeer (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Kesedaran tentang jenayah pemerdagangan orang dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 amat penting dan perlu dipupuk oleh masyarakat khususnya komuniti kampung yang terdedah kepada masalah lambakan warga asing.

Antara penduduk kampung yang hadir.

Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak ASP Ramesh Nagayah, berkata penduduk yang terlibat dengan perkhidmatan sewa kereta, sewa bot atau sewa rumah harus mengambil tahu tentang latar belakang pelanggan atau penyewa yang ingin mendapatkan perkhidmatan tersebut.

“Ini sangat penting kerana apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhadapan dengan kes yang melibatkan pelanggan atau penyewa berkenaan, data peribadi atau maklumat tentang pelanggan atau penyewa amat berguna bagi membantu siasatan.

ASP Ramesh (duduk tengah) dan Norsham (duduk dua kiri) bergambar kenangan seusai program.

“Jika tiada maklumat, penduduk yang membenarkan kereta, bot atau rumah mereka disewa akan disiasat sebagai individu yang terlibat,” ujarnya ketika menyampaikan taklimat berkenaan pemerdagangan orang di Warung Nasi Lemak Din & Mah, di sini semalam.

Sementara itu, Penghulu Mukim Sungai Durian Norsham Abdul Kadir, berkata program anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) itu diharap dapat meningkatkan kesedaran berkaitan pemerdagangan orang terutama kepada golongan sasar seperti Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pemimpin komuniti dan penduduk kampung yang berhadapan persekitaran yang mempunyai ramai pekerja asing.

“Usaha JaPen sebagai badan kerajaan sangat membantu dalam menyebarluas maklumat berkaitan ATIPSOM kepada penduduk kampung yang kurang mendapat pendedahan kerana berada di kawasan luar bandar yang jauh daripada kawalan dan tindakan penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda