Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

PEKA B40: Akses Kesihatan Percuma dan Meringankan Beban Rakyat

By 21 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus (Sabah)

KOTA KINABALU, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) adalah inisiatif di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyediakan akses kepada pemeriksaan dan penjagaan kesihatan percuma kepada golongan berpendapatan rendah.

Pegawai Perubatan Klinik Dr. Zulfikar, Kapten Dr. Zulfikar Zulkifli (B), berkata program ini perlu dimanfaatkan rakyat terutama kepda individu berusia 40 tahun ke atas serta penerima Sumbangan Tunai Rumah (STR).

Salah seorang pengunjung Mariati Guwen di reruai PEKA B40.

“Program ini merupakan inisiatif penting memastikan kesihatan golongan B40 dipantau dan diberikan perhatian lebih awal sebelum sebarang komplikasi kesihatan berlaku dan menariknya apabila kaunter PeKa B40 ini dibuka, pihak kami akan menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara langsung kepada orang awam,” katanya ketika ditemui di Program Madani Rakyat (PMR) 2024 Sayangi Sabah, di sini pada Sabtu.

Tambah Dr. Zulfikar, Program PeKa B40 juga menawarkan bantuan kewangan sehingga RM20,000 antarnya untuk dimanfaatkan untuk menyediakan alat-alat perubatan khusus yang diperlukan selain menampung kos logistik pesakit sepanjang menerima rawatan.

“Program ini juga menyediakan bantuan sebanyak RM1,000 untuk pesakit kanser melengkapkan rawatan dan dana ini disalurkan terus ke akaun penerima, jika pihak kami merujuk pesakit kepada pakar, bantuan sehingga RM1,000 akan diberikan untuk membantu kos perjalanan atau pengangkutan.

“Ini juga satu inisiatif daripada KKM yang dijalankan melalui agensi ProtectHealth beberapa tahun lalu, bertujuan meringankan beban kewangan golongan B40 dalam mendapatkan rawatan perubatan, terutama bagi penyakit kronik dan kritikal,” kongsinya.

Suasana di reruai Peka B40.

Salah seorang pengunjung, Mariati Guwen, 47, yang pertama kali mengetahui mengenai Program PeKa B40, berkata beliau teruja dengan pelbagai manfaat yang ditawarkan dan segera mengambil peluang untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Program ini sangat bermanfaat, terutama bagi golongan seperti saya yang kurang berkemampuan dan semestinya saya berharap Program PeKa B40 ini dapat diteruskan supaya lebih ramai daripada golongan B40 mengetahui kelebihan dan manfaat yang ditawarkan,” ujarnya.

Untuk makluman, Program Malaysia MADANI Rakyat (PMR)2024: Sayangi Sabah telah diadakan pada 18 hingga 20 Oktober lalu di Kompleks Sukan Likas Kota Kinabalu dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-ZS-

Tinggalkan komen anda