
Laporan/foto: Mohd Fazlee Ibrah (Sabah)
KOTA KINABALU, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Melahirkan masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran Islam terutama dalam kalangan mereka yang kurang memahami agama serta golongan mualaf merupakan tanggungjawab semua pihak.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, berkata adalah menjadi tanggungjawab setiap kelompok masyarakat memupuk kasih sayang sesama Islam serta memberikan sokongan moral kepada saudara baru.

Antara peserta yang menghadiri program tersebut.
Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, beliau juga menyarakan masyarakat setempat untuk saling bersatu hati dalam usaha meningkatkan kefahaman dan penghayatan cara hidup Islam dalam kalangan saudara baru di Sabah.
“Kefahaman dan penghayatan cara hidup Islam penting untuk memastikan bahawa kita tidak hanya membantu saudara mualaf melalui bantuan peralatan, harta benda, tetapi juga membimbing mereka dalam memahami ajaran Islam yang sebenar.
“Kita perlu memberi mereka ruang dan peluang untuk bertanya, belajar, dan mendalami agama seterusnya menjadi sahabat dan saudara yang sentiasa memberi galakan dan dorongan agar mereka terus kukuh dalam iman dan istiqamah dalam melaksanakan ajaran Islam,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Program Penghayatan Islam Peringkat Daerah Kecil Tamparuli di Masjid Ubudiyyah Tamparuli di sini pada Ahad.
Sementara itu seorang peserta, Salim Osman, 60, mengharapkan program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan golongan mualaf di kawasan tersebut terus didekati dan tidak merasa asing dalam komuniti.
“Program ini adalah satu platform yang baik dan sesuai diadakan khususnya dalam kalangan saudara baru yang ingin mengenali dan mempelajari tentang Islam dan ini akan perlu diteruskan sebagai usaha memantapkan akidah mereka.
“Semoga program seumpama ini akan diadakan secara bersiri pada masa akan datang bagi memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan ini secara keseluruhan,” katanya.

Antara peserta yang menghadiri program tersebut.
Seorang lagi peserta program, Hamidah Sani, 48, berkata beliau amat bersyukur kerana terpilih dalam program tersebut kerana memberi banyak manfaat dari segi ilmu pengetahuan dan motivasi dalam menjalani kehidupan seharian.
“Menerusi program ini dapat menyuntik semangat dan inspirasi kepada kami khasnya sebagai ibu dalam mendidik anak-anak dan rumah tangga amnya, dan pengisian program juga banyak menyentuh dari segi peranan ilmu pengetahuan dalam sebuah masyarakat,” ujarnya.
Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Kecil Tamparuli itu disertai oleh 200 orang peserta dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti mualaf, penduduk kampung, pelajar sekolah agama dan peserta daripada Pusat Reintergrasi Penghuni Tuaran Jabatan Penjara Malaysia.
Antara pengisian utama program ialah ceramah yang disampaikan Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaysia Sabah Dr. Isrraq Ramli dan Penolong Pengarah Kanan Unit Komunikasi Strategik Korporat dan Inovasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah Ustazah Noordianah Alwi.
-ZS-