
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) daerah Pendang bersama Pejabat Penerangan daerah Pendang berkongsi informasi berkenaan Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (MAPO), di sini hari ini.
Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) daerah Pendang Haji Mohamad Mohd Isa, berharap agar peserta yang hadir mendapat informasi dan meningkatkan tahap kesedaran berkaitan jenayah ini yang kini boleh berlaku tanpa mengira faktor usia dan jantina.

Para peserta mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Pendang.
“Saya juga berharap agar program seperti ini dapat terus diadakan di lebih banyak lokasi memandangkan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap perkara ini.
“Maklumat yang disampaikan pada hari ini amat bermakna dan secara tidak langsung boleh turut dikongsikan kepada ahli keluarga dan jiran tetangga,” jelasnya.
Seramai 40 orang ahli PAWE telah hadir dan mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Pendang Syamimi Aaizag Ibrahim dalam program yang bermula pada pukul 9.30 pagi itu.

Edaran risalah berkaitan MAPO oleh petugas dari Pejabat Penerangan Daerah Pendang.
Syamimi Aaizag dalam taklimatnya menjelaskan bahawa jenayah ini berlaku melalui pelbagai kaedah dan bentuk ekploitasi termasuklah dipaksa menjadi pengemis, pekerja seks dan pekerja buruh kasar tanpa gaji.
“Penyeludupan migran yang perlu merentas sempadan negara ini biasanya melibatkan golongan dewasa yang mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan dan gaji menarik yang dibuat oleh sindiket penyeludupan manusia,” jelasnya.
-ZS-