Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Peruntukan Lebih RM1 Juta untuk Komuniti MADANI di Perak

By 21 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Lina Shukri (Perak)

IPOH, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi telah menyediakan peruntukan keseluruhan untuk Komuniti MADANI di negeri Perak sebanyak RM1.06 juta merangkumi pemberian geran pentadbiran sebanyak RM3,000 kepada setiap komuniti.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi Helmi, peruntukan ini telah dibelanjakan dengan pelaksanaan program sebanyak 96 peratus sehingga 9 Oktober lalu.

Mohd Azlan (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan watikah Komuniti MADANI oleh Pengarah Penerangan Negeri Yosri Abu Mahsin.

“Komuniti MADANI merupakan sebuah badan sukarela pelbagai kaum yang ditubuhkan bagi memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan bagi merealisasikan konsep Malaysia MADANI.

“Kita sedia maklum bahawa Komuniti MADANI merupakan salah satu platform penting untuk menyalurkan informasi terkini dan sahih mengenai dasar-dasar serta inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, supaya sampai kepada rakyat secara berterusan.

“Justeru, besarlah harapan kami agar kewujudan Komuniti MADANI ini mampu memperkasa usaha penyaluran maklumat kerajaan kepada rakyat dengan kerjasama semua pihak hingga peringkat akar umbi,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Jalinan Mesra Komuniti MADANI Peringkat Negeri Perak di Auditorium RTM Perak, di sini kelmarin.

Dalam majlis sama, keseluruhan 177 buah Komuniti MADANI di negeri ini menerima watikah menandakan pelantikan Komuniti MADANI Negeri Perak.

Mohd Faizal ketika ditemu bual.

Timbalan Ketua Komuniti MADANI Behrang 2020 Mohd Faizal Mohd Fadil, berkata penerimaan watikah ini bakal mengukuhkan lagi organisasi Komuniti MADANI kerana boleh bergerak secara progresif seterusnya lebih produktif.

“Setiap komuniti bertanggungjawab untuk menggerakkan agenda di bawah Jabatan Penerangan (JaPen), khususnya sebagai saluran maklumat kerajaan kepada rakyat.

“Kita juga menjadi penggerak untuk melaksanakan aktiviti bersifat komuniti agar setiap warga menerima manfaat daripada inisiatif kerajaan seperti mana yang disediakan melalui Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda