
Laporan/foto: Lina Shukri/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 15 Okt (Malaysiaaktif) – Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 kini kembali dengan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung sejak kali terakhir penganjurannya pada tahun 2009.
Program anjuran Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Perak dan Muafakat Anak Jati Kuala Kangsar (GEMUDA) bersempena ulang tahun yang ke-10 Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersemayam di atas takhta singgahsana Kerajaan Negeri Perak.

Mohd Zahidi ketika sesi sidang media berlangsung.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Sukan Air Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Datuk Seri Diraja Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin, berkata seramai 50,000 pengunjung dijangka membanjiri Dataran Lembah Sungai Perak, Kuala Kangsar pada 26 dan 27 Oktober nanti.
“Pesta ini bakal menyajikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan pelbagai aktiviti menarik sesuai untuk semua peringkat umur,” katanya ketika sidang media di bilik mesyuarat Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak, di sini semalam.
Antara acara yang dipertandingkan ialah lumba perahu naga, bot berhias, jetsurf, batu seremban, congkak, tiang licin, pukul bantal, e-sukan, kaligrafi cina dan banyak lagi.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak Yosri Abu Mahsin (kiri) dan Presiden Majlis Belia Negeri Perak merangkap Sekretariat Pesta Sukan Air Kuala Kangsar Muhammad Puhaz Saleh (kanan).
“Acara yang dilaksanakan ini merupakan bentuk nyata dari semangat kebersamaan dan kencintaan kita terhadap Negeri Perak.
“Selain pertandingan, pengunjung juga dapat menikmati pelbagai juadah tempatan, gerai jualan, persembahan artis dan pameran agensi,” katanya.
Mohd Zahidi juga menyeru kehadiran pengunjung dari Perak dan luar negeri untuk memeriahkan lagi Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024.
-ZS-